Tuesday, February 2, 2010

BAB 1 & BAB 2

Bermula Langkahku yang Pertama

Assalamua'laikum wbt..

Wah, hari ini aku cuba berjinak-jinak dengan blog..sebenarnya ini bukan percubaan pertama aku untuk tulis blog..dah banyak kali tapi asyik gagal je blog aku...bukan apa, rasanya kekangan masa tu yang membataskan aku untuk buat blog..tak apalah, kali ini aku akan cuba bersungguh-sungguh untuk tulis blog..tapi malu pun ada nak promote blog ni..maklumlah, masih baru...kawan-kawan doakan yea agar blog aku kali ni berjaya hihihihi...aku akan cuba update sekerap yang mungkin...InsyaAllah...untuk permulaan, aku ingin kongsi bab-bab permulaan novel kedua ku terbitan Kaki Novel yang bertajuk Jauhari Hatiku...enjoy! ;-)
pst! bab seterusnya akan aku post kan kemudian ya...




BAB 1

Farisa menoleh ke belakang apabila terdengar namanya dipanggil. Jamilah tersenyum panjang apabila Farisa memandang ke arahnya. Gadis kenit yang berasal satu kampung dengannya itu berlari-lari anak menghampiri Farisa

"Kau ke mana?" tukas Jamilah sebaik merapati teman sebiliknya.

"Aku pergi perpustakaan tadi. Kenapa? balas Farisa tanpa selindung.

"Ada seseorang sedang menunggu kau di hadapan pagar asrama."

"Siapa?"

"Entah. Dia bawa jambangan bunga. Besaq!"

Jantung Farisa berdegup kencang. Kata-kata Jamilah menggetarkan urat-sarafnya.

"Betul kau tak kenal dia?"

"Betul la. Kau ingat aku suka sangat tipu kau? Hah, mari sini aku tunjukkan."

Jamilah segera memimpin tangan Farisa. Terpaksalah Farisa mengekorinya walau

hati keberatan.

Tiba di hadapan blok yang paling hampir dengan pintu pagar asrama,

Farisa menghentikan langkah. Berkerut dahi Jamilah dibuatnya.

"Apasal?" tanya Jamilah kurang sabar.

"Kejap la," getus Farisa lantas menyorok di sebalik bangunan sambil mengintai ke

arah pintu pagar asrama.

"Mana dia?" soal Farisa.

"Siapa?"

"La, mamat yang bawa bunga tu lah."

"Ooo, tu. Kat tepi van putih tu. Nampak?"

Farisa tidak menjawab pertanyaan kawannya itu. Matanya asyik melilau mencari.

Dah jumpa! Tetapi agak malang wajah lelaki yang dimaksudkan Jamilah tidak

dapat dilihat dengan jelas. Jambangan bunga yang dibawa melindungi wajah lelaki

itu.

"Pergilah. Tunggu apa lagi? Kesian, dah lama dia tu tunggu tau," gesa Jamilah

lebih-lebih. Bahu Farisa ditolaknya. Hampir-hampir gadis itu tersembam ke tanah.

Kasar betul minah ni! Farisa hanya merungut di dalam hati sambil menjeling

Jamilah. Farisa tidak dapat membebel dan marah-marah seperti selalu. Fikirannya

lebih tertumpu kepada lelaki yang membawa jambangan bunga di hadapan pintu

pagar asrama.

"Pergilah!" gesa Jamilah lagi.

Lantas Farisa menarik nafas dalam-dalam. Dengan perasaan serba-salah, dia

menuju ke arah pintu pagar asrama. Sampai di hadapan pemuda itu, Farisa

berpura-pura tidak nampak. Dia terus saja berjalan tanpa menoleh.

"Err, dik!" suara parau itu memanggil.

"Ya, ada apa?" balas Farisa seraya berpaling. Degup jantung semakin pantas.

"Dik kenal tak Farisa binti Othman?" tanya pemuda yang membawa

jambangan bunga. Air muka lelaki itu kini tergambar jelas pada pandangan Farisa.

Siapa dia ni? Tak kenal pun.

"Ke...kenapa...abang cari dia?" gagap Farisa bertanya.

"Dik kenal diakah? Tolonglah cakap ya. Dah lama saya berdiri kat sini.Saya tak

tahu nak buat macamana. Dah ramai saya minta tolongg carikan dia tapi dah dua

jam, masih tak nampak batang hidung. saya mesti serahkan bunga ini kepada dia."

"Apa kata abang serahkan saja pada saya? Nanti saya serahkan kepada dia."

"Eh, tak boleh. Bos saya mahu bunga ini diserahkan kepada dia. Tidak boleh

tidak."

"Bos abang tu siapa?"

"Dik kenal tak Farisa tu?"

Hmm, banyak songeh pula mamat ni. Nak korek rahsia sikit pun tak boleh. Cantik

juga bunga yang dibawanya. Bunga ros merah yang telah digubah dengan indah.

Tentu mahal. Rugi juga kalau menolak.

"Sayalah Farisa," terpaksalah Farisa mengaku juga.

Pemuda di hadapannya mengerutkan muka.

"Betul ke?"

"Betul."

"Tak tipu?"

"Nak bagi ke tak nak? Nanti bos abang marah pula."

"Boleh saya tengok kad pengenalan dik?"

"Huh, tak nak bagi sudah."

Farisa merengus marah. Buang masa saja melayan kerenah pemuda itu. Kalau tak

dapat bunga pun, aku tak mati!

"Eh, dik! Tunggu! Takkan nak merajuk pula. Sporting la sikit."

'Hotak kau sporting'. Makian Farisa hanya bergema di dalam, tidak terluah di mulut.

Tidak sampai hati nak maki anak orang.

"Nah, ambillah. Saya harap Cik Farisa suka dengan pemberian ikhlas daripada

bos saya ni."

"Hmm, terima kasih."

"Sama-sama."

Jambangan bunga bertukar tangan. Sambil bersiul riang, lelaki itu masuk ke dalam

perut van putih yang berdekatan. Kemudian vannya berlalu pergi meninggalkan

Farisa yang termangu-mangu memerhati kad pada jambangan bunga ros merah.

50 kuntum semuanya. Banyak kali sudah Farisa membilang jumlah

Farisa mengusap kuntuman bunga dalam jambangan yang diterimanya pagi tadi. Berulang-kali pula dia mengamati tulisan tangan pada kad yang terselit di celah kuntuman bunga.

'Semoga berbahagia. Ikhlas, Mahfuz.'

Itu saja yang ditulisnya. Tiada madah. Tiada puisi. Namun tulisan seliput itu sudah

cukup untuk mengharu-birukan hidup Farisa.

"Wei, jauhnya mengelamun!"

Tiba-tiba suara nyaring itu menyergahnya. Farisa tersentak kuat.

“Opocot!”

Terlucut latah itu dari mulutnya membuatkan Jamilah dan Rahimah yang menyergah tadi terkekeh ketawa.

"Maklumlah orang baru dapat bunga! Besar!"

Suara yang bertingkah itu mengejutkan Farisa dari lamunan. Cepat-cepat

tangannya menyorok kad tadi ke dalam laci meja. Entah dari mana dua orang

minah sesat ni datang.

"Bunga dari siapa, Farisa?" jolok Jamilah sambil mengerling Rahimah di sisi.

"Dari kawan," jawab Farisa acuh tak acuh.

"Takkan bunga istimewa tu dari kawan saja? Tentu mahal kan?" sampuk Rahimah

pula.

Tangannya sudah mula menggatal, membelek-belek jambangan bunga yang

terletak di atas meja berhadapan Farisa.

"Kami pun nak tahu juga, Farisa. Kegembiraan hang, kegembiraan kami juga.

Takkan dengan roomate pun nak berahsia?"

Jamilah masih tidak berpuas hati. Biasalah, kalau bab lelaki, teman nan seorang itu

berminat benar. Cuba kalau bab pelajaran, tidak sampai setengah jam dah lentok.

Farisa memang keberatan benar hendak bercerita. Benda ini bukannya

cerita yang boleh dibangga-banggakan. Lagipun Farisa jarang berterus-terang

dengan Jamilah. Walaupun teman sebilik, dia jarang menceritakan kisah

peribadinya kepada kawan-kawan. Ah, peristiwa semalam terimbau lagi di ingatan.

“Assalamua’laikum, Farisa.” Sakiu

Suara parau itu menegur sewaktu Farisa sedang melangkah menuju ke taman bunga di pinggir kawasan kampus semalam. Berderau juga darah Farisa mendengarnya. Suara mamat mana pula ni?

“Wa..waa’laikumussalam,” balas gadis itu seraya mendongak sedikit, meneliti wajah milik seorang lelaki yang tinggi lampai. Bidadara mana pula ni? Puas Farisa cuba memerah fikiran untuk mengingati wajah bersih dan berkopiah putih itu. Tapi gagal. Ternyata dia benar-benar tidak mengenali tuan empunya suara parau tadi. Tersenyum lelaki berkopiah putih melihat air muka Farisa berkerut-kerut begitu.

“Ana rasa anti memang tidak kenal dengan ana,” ujar pemuda itu selepas tersenyum. Aduh, nak berbahasa Arab pula. Siapa dia ni?

“Boleh saya tahu awak siapa? Kita pernah jumpa ke?” tanya Farisa tanpa selindung.

“Ana Hamidi Mahfuz,” jawab si pemuda berkopiah putih jujur.

Farisa berfikir lagi. Seingatnya dia pernah mendengar nama itu. Ah, dah ingat!

“Kalau tak silap saya, awak ni pengerusi Badan Dakwah kan?” teka Farisa agak yakin. Memang dia pasti itulah nama yang agak popular meniti di bibir teman-teman sekelasnya. Lebih-lebih lagi apabila pilihanraya kampus semakin dekat.

Tidak sangka kacak juga si Mahfuz ni. Tak sama macam dalam poster pun. Selama ini Farisa cuba tahu nama saja.

“Ya, ana lah tu. Kenal juga anti pada ana.”

Hamidi Mahfuz tersipu malu. Terbalik pula. Kalau hendak diikutkan Farisa yang sepatutnya tersipu malu kerana dia perempuan. Tapi Farisa tampak tenang, sekadar tersenyum antara mahu dengan tidak. Kalau hendak cepa, ada-ada saja yang menghalang. Nasib baiklah Hamidi Mahfuz yang menghalang, tidaklah marah sangat Farisa dibuatnya.

“Mestilah, takkan Pengerusi Badan Dakwah yang glamer macam awak saya tidak kenal. Macamana awak boleh kenal dengan saya?” Farisa tidak mahu membuang masa dengan berbual kosong. Dia hendak cepat, terpaksa memaksa Hamidi Mahfuz yang keihatan malu-malu kucing menyampaikan hajatnya dengan segera.

“Ana..ana..nak jemput ani ke ceramah Ustaz Karim malam Jumaat nanti,” tukas Hamidi Mahfuz. La, kalau setakat nak minta dia pergi ceramah, tak berjemput pun Farisa pergi. Memang sudah menjadi rutinnya pergi ke surau dan mendengar ceramah mingguan yang diadakan pada setiap malam Jumaat. Masakan Hamidi Mahfuz yang tidak pernah bercakap dengannya selama ini mengelolakan jemputan khas untuk para pelajar agar pergi mendengar ceramah? Ribut tidak, hujan tidak, pelajar tahun akhir Fakulti Kejuruteraan itu menegurnya pula dengan alasan yang tidak munasabah.

“Oh, ceramah tu, Insya Allah saya pergi. Jangan bimbang, awak tak jemput pun saya pergi. Itu saja?” soal Farisa sediki menggesa lelaki di hadapannya. Berlagak pula Farisa hari ini. Mentang-mentanglah Hamidi Mahfuz yang menegurnya terlebih dahulu.

“Emm..err..boleh..err..tak apalah. Ana cuma nak sampaikan ni. Lain kali kita jumpa lagi ya. Assalamua’laikum.”

Hamidi Mahfuz menyampaikan sekeping sampul hijau kepada Farisa. Gadis itu segera menyambutnya sambil mulut terkumat-kamit menjawab salam Hamidi. Si Hamidi pula cepat saja berlalu sebaik Farisa memegang sampul yang diberinya. Tanpa berlengah, Farisa membuka sampul lantas membaca isi dalam yang tertulis.

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamua’laikum ya mukminah, Nur Farisa Asri. Salam perkenalan ana ucapkan. Farisa, demi fitrah yang menjadi hukum alam, demi sunnah yang menjadi amalan, sambutlah salam perkenalan ana ini dengan hati yang tebuka dan ikhlas. Sesungguhnya kesantunan budimu, kebijaksanaan akalmu serta ketaatanmu pada tali Allah telah menarik hati ana untuk mengenalimu dengan lebih deka. Wahai bunga suci, ketahuilah bahawa niat ana benar-benar ikhlas.

Hamidi Mahfuz

(015 3999821)

Wah, Hamidi Mahfuz melayangkan warkah biru untukku? Farisa mengelamun sendiri. Surat tadi diamati lagi dalam tidak percaya. Haimidi Mahfuz menaruh hati pada aku? Walau kata-katanya penuh kiasan, tapi sudah tentu Farisa dapat meneka. Atau Hamidi Mahfuz cuba bergurau dengannya? Kalau surat itu dihantar ke pejabat Buletin Kampus, tentu Farisa pun akan jadi glamer. Dalam gelak yang tertahan, Farisa lipat semula surat itu dengan rapi lalu dimasukkan ke dalam begnya.

Hamidi, aku sanjung keberanianmu kerana tidak ramai lelaki yang mengikut gerak hati sendiri. Selalunya lelaki ini terlalu pesimis dalam menilai rasa hati dan tidak yakin dengan perasaan yang lahir dari lubuk sanubari mereka. Namun sayang Hamidi, aku tidak dapat menerima niatmu dengan hati yang terbuka dan ikhlas.

Farisa gelengkan kepala beberapa kali. Sedangkan lelaki yang cukup disanjung oleh para pelajar dan pensyarah pun cuba mencari pasangan di kampus. Sudah menjadi lumrah sekarang ini agaknya. Budaya bercinta di kalangan pelajar bagai satu kewajipan yang harus ditunaikan. Tiada kekasih, dia dianggap pincang atau ada sesuatu yang tidak kena dengan dunia sosial seseorang itu. Pengerusi Badan Dakwah sendiri pun tidak mahu ketinggalan. Budak-budak sekolah lagi dasyat. Berpelukan di khalayak ramai bagai tiada lagi rasa malu dalam diri mereka. Ke mana cita-cita yang mereka impikan itu? Bukankah cita-cita lebih penting dari cinta? Tanpa cita-cita tinggi, boleh bererti juga tiada duit. Tiada duit, macamana hendak menyara anak bini nanti?

Bukan Farisa bersikap prejudis pada orang-orang seperti Hamidi atau budak-budak sekolah itu. Cuma pada diri Hamidi itu, terletak satu imej yang sangat dikagumi orang. Jika Hamidi pandai membawa diri dan bercinta mengikut lunas-lunas Islam, maka tiada salahnya. Dan jika budak-budak sekolah itu bercinta tanpa merosakkan masa depan serta tidak melanggar batas-batas Islam, memang mereka tidak patut dihalang bercinta.

Namun sayang seribu kali sayang, selalunya ia tidak begitu. Apabila bercinta dugaan terlalu banyak. Selalunya yang menjadi pengadil dalam cinta adalah nafsu dan syaitan. Tinggallah Islam hanya pada nama. Cinta bukan satu maksiat. Sebenarnya cinta itu adalah anugerah Allah yang tidak ternilai. Kasih sayang yang lahir dari sekeping hati nan suci, tiada harta yang mampu membelinya. Namun seringkali manusia menjadikan cinta itu sau alasan untuk melakukan dosa. Mengheret manusia menjadi lebih hina dari binatang.

Jika iman senipis kulit bawang, jangan diuji nafsu itu dengan cinta. Sebaiknya pilihlah jalan yang halal. Satu-satunya jalan yang halal melalui satu lafaz akad yang ikhlas. Satu lafaz yang menghalalkan lelaki dan perempuan bukan muhrim berdua-duaan di mana saja yang mereka suka. Satu lafaz yang mengikat dua hati dalam satu bahtera yang digelar perkahwinan. Terpeliharalah keturunan, tertunailah tuntutan fitrah dan terjagalah maruah serta peribadi melalui satu perkahwinan itu.

Apa salahnya bercinta selepas kahwin? Bukankah itu lebih nikmat? Lebih afdal dan diberkati Tuhan? Lesbiankah tidak mempunyai teman lelaki? Pondankah tidak mempunyai teman wanita? Farisa mengeluh sendiri. Hidup di dunia tidak semudah yang dikata. Tidak semudah kata tetapi janganlah terus membiarkan diri bergelumang dengan dosa. Tidak semudah kata bukan bermakna mustahil untuk diamalkan. Asal dalam diri ada kekuatan diiringi doa pada Yang Kuasa semoga sentiasa terpelihara dari dosa dan semoga Allah tunjukkan jalan yang benar dalam meniti pancaroba hidup ini.

Tekad Farisa di dalam hati, tidak mungkin dia akan bercinta selagi cita-citanya tidak tercapai. Dia bimbang cinta akan mengganggu pembelajarannya nanti. Dia berasal dari golongan orang susah. Dia tahu betapa sukarnya hidup ibunya untuk menyara dia dua beradik setelah kematian ayah beberapa tahun yang lalu. Mak Piah, ibunya bertungkus-lumus mencari duit dan dia tidak akan mensia-siakan harapan besar ibunya untuk melihat dia berjaya.

"Sorry, Ila. Aku tak ada mood hendak bercerita," ujar Farisa agak lambat selepas jauh mengelamun.

"Ai, takkan dapat bunga pun masih nak bersedih?"

Rahimah menyampuk walaupun kata-kata Farisa tadi tidak ditujukan kepadanya.

Farisa menjeling tajam.

"Eh, kalau macam tu, tak apalah. Kami nak keluar makan ni. Ada apa-apa yang kau

nak pesan?"

Akhirnya Jamilah mengalah apabila melihat air muka Farisa saat itu.

"Tak, aku belum lapar. Terima kasih, " tukas Farisa masih berbahasa.

"Okay, kami pergi dulu."

Setelah mencuit tangan Rahimah, Jamilah berlalu pergi. Rahimah terpaku sejenak

sebelum turut keluar dari bilik itu. Kenapa dengan Farisa?


BAB 2

Cermin tingkap kereta sengaja dibiarkan terbuka lebar. Angin pagi yang sejuk berlumba-lumba menerobos masuk. Farisa menarik nafas dalam-dalam. Bibirnya mengukir senyuman. Perasaan gembira jelas tergambar pada air mukanya. Sungguh dia merasa cukup bersemangat hari ini. Apatah lagi dia merasa lebih segar dengan hembusan angin yang menerjah pipi.

Namun sebaik memasuki kawasan bandar, Farisa segera menaikkan tingkap kereta. Alat penghawa dingin kereta dipasang. Sebuah keluhan kecil dilepaskan. Jalan di hadapanya sekarang tidak lagi selengang tadi. Pelbagai jenis kenderaan bertali arus menyekat perjalanannya. Asap kereta berkepul-kepul memenuhi kawasan sekitar. Farisa mula rimas. Pun begitu dia meneruskan juga perjalananya. Dia perlu segera sampai ke destinasi. Hari itu adalah hari yang penting baginya. Dia tidak mahu segala usaha yang dicurahkan untuk hari itu jadi sia-sia. Segala persiapan telah dilakukan dengan teliti.

Hampir setengah jam kemudian barulah kereta Citroen Farisa membelok masuk ke perkarangan tempat letak kereta yang ditujuinya. Sekitar kawasan bangunan ibu pejabat Fortress Holding Berhad (FHB) sudah sibuk. Agak sukar juga untuk Farisa menempatkan keretanya. Setelah mematikan enjin kereta, Farisa membetulkan tudung. Pintu kereta dibuka, bangunan setinggi 40 tingkat semakin jelas tersergam dihadapan mata.

Jantung Farisa berdegup laju. Dia keluar dari perut kereta, memijak tar yang membahang di panah cahaya matahari pagi. Sekilas dia melirik ke arah jam di pergelangan tangan. Saat itu tiba-tiba saja matanya berpinar. Dia tidak mampu melihat angka yang tertera pada jam.

Farisa masuk semula ke dalam kereta. Dia cuba untuk bertenang. Barangkali suasana yang agak merimaskan serta debaran yang terasa menjadikan dia sebegitu. Setelah keadaan dirasakan seperti biasa semula, Farisa keluar dari kereta. Baju kurungnya yang agak keromot dibetulkan. Farisa menyedut nafas dalam-dalam lantas melangkah ke arah pintu utama ibu pejabat Fortress Holding Berhad selepas mengunci pintu kereta.

Dua orang gadis berpakaian seragam syarikat tersenyum lebar, menyambut kedatangan Farisa di ruang legar bangunan. Seketika Farisa terpegun melihat keindahan ciptaan manusia. Segan rasanya hendak memijak lantai yang berkilat bagaikan biasan air pada permukaan tasik. Demi menyembunyikan perasaan segan itu, Farisa melampiaskan senyum seraya menghampiri kaunter penyambut tetamu.

"Good morning, how can I help you?" sapa salah seorang gadis penambut tetamu sebelum sempat Farisa bertanya.

"Err, morning. Saya Cik Farisa Othman. Dimana saya boleh jumpa Encik McCommick?"

"Oh, Cik Farisa. Mari ikut saya.”

Gadis yang mula-mula menyapa tadi bangkit dari duduk. Dia membawa Farisa ke lif.

" Encik McCommick serta ahli lembaga pengarah yang lain sedang menunggu cik di dewan mesyuarat Delta," jelas gadis itu tanpa dipinta semasa mereka melangkah keluar dari lif ditingkat 11. Farisa cuma terangguk-angguk tidak mampu bersuara kerana debarannya yang semakin mencengkam. Sewaktu mereka berhadapan dengan sebuah pintu yang besar, gadis itu mematikan langkah. Rupa bentuk pintu besar dihadapan mereka kelihatan tidak ubah seperti rupa bentuk pintu yang terdapat di istana lama Eropah. Hampir-hampir sama seperti yang dilihat oleh Farisa semasa melawat tempat-tempat bersejarah di Rom sewaktu dia belajar di England dulu.

"Mr. McCormick, she's here," suara gadis tadi sambil tangannya memegang butang hijau ditepi pintu. Serentak itu juga pintu besar dihadapan mereka terkuak lebar. Luruh rasanya jantung sewaktu melihat keluasan dewan mesyuarat Delta. Ditambah pula lima pasang mata yang memandangnya tidak berkelip, Farisa jadi benar-benar gemuruh. Gadis penyambut tetamu tadi meninggalkannya masuk ke dewan mesyuarat Delta bersendirian.

" Silakan masuk cik Farisa", pelawa salah seorang daripada mereka berlima yang duduk di hujung meja. Hidungnya yang mancung, berkulit cerah serta berambut agak keperangan membezakan dia daripada orang lain. Barangkali itulah Micheal McCormick, Tuan Pengarah Fortress Holding Berhad. Nama yang sering disebut-sebut oleh Enck Kasman, bekas majikannya selama ini. Satu nama yang sudah gah dalam dunia perniagaan serantau. Syarikat yang dibina keluarganya sudah lebih setengah dekad menempa nama.

"Silalah duduk, cik. Kami tidak bermaksud hendak menakutkan cik dengan menggunakan dewan mesyuarat sebesar ini. Bilik-bilik mesyuarat yang lebih kecil sedang digunakan untuk seminar. Silalah duduk," sambung pemuda yang disangka Micheal McCormick setelah melihat Farisa teragak-agak.

Sungguh menghairankan jika ingin membandingkan sifat luaran lelaki itu dengan percakapannya. Mulutnya begitu fasih bertutur dalam Bahasa Melayu. Tidak pelat sedikit pun. Seakan bahasa itu sudah sebati dengan dirinya.

"Ya, terima kasih," balas Farisa sopan. Dia memilih kerusi disebelah seorang gadis Cina untuk duduk.

"Saya Daniel McCormick. Di sebelah awak tu, setiausaha peribadi saya, Lai Yuen. Di sebelah kiri saya, Encik Razak, Encik Amran dan Encik Salleh."

Tanpa berlengah, pemuda Mat Salleh tadi memperkenalkan diri sekaligus mengusir sangkaan Farisa yang meleset sama sekali. Farisa terangguk-angguk sambil membalas senyuman mereka.

"Apa khabar ?" tutur Farisa berbahasa

"Baik . . .baik," balas mereka semua dengan mesra. Lega hati Farisa melihat senyuman mesra mereka. Dia kembali menumpukan perhatian kepada Daniel McCormick. Lelaki itu asyik membelek dokumen di hadapannya. Ternyata dia bukan Michel McCormick, kenalan Encik Kasman. Anaknya Micheal barangkali? Melalui cerita Encik Kasman, Micheal McCormick adalah seorang lelaki dalam lingkungan umur 50-an dan berasal dari Ireland. Mereka telah berkenalan di kelab golf lantas membibitkan persahabatan yang cukup akrab.

Baru-baru ini Micheal McCormick telah menyatakan hasratnya untuk mencari seseorang yang cekap bagi mengendalikan salah satu projek besar Fortress Holding Berhad. Lantas Encik Kasman tidak teragak-agak mencanangkan nama Farisa kepada lelaki itu. Tidak teragak-agak Micheal McCormick menerima Farisa bekerja di syarikatnya sebagai pengaturcara komputer.

Jasa baik Encik Kasman telah membawa Farisa menjejaki Fortress Holding Berhad. Kontrak selama dua tahun sudah ditandatangani di hadapan wakil syarikat Fortress Holding Berhad dua hari lepas. Dari situlah Farisa kini sedang berhadapan dengan Daniel McCormick.

"Emm,saya pasti urusan kontrak cik telah diselesaikan?”suara Daniel McCormick mengheret Farisa daripada terus tenggelam dalam dunianya sendiri. Gawat apabila dia merasakan dirinya terus menjadi perhatian. Lebih-lebih lagi mata bundar berwarna biru itu sedang menatapnya meminta kepastian.

“Err, ya, ya. Semuanya dah diuruskan. Atau ada apa-apa yang saya tertinggal?” gugup sekali percakapan Farisa. Cepat-cepat Daniel McCormick menggelengkan kepala.

“Tak, tak ada masalah. Bapa saya dah beritahu saya mengenai Cik Farisa. Lagipun Encik Kasman baik dengan kami sekeluarga dan selalu sebut-sebut nama cik. Cik tentu kenal bapa saya kan, Micheal McCormick?" tukas Daniel McCormick sekaligus menjawab persoalan yang berselirat di kepala.

“Tak, saya tak berpeluang untuk berkenalan dengan dia lagi.”

"Ah, tak ada masalah. Bapa saya ambil keputusan untuk bersara lebih awal tapi dia akan selalu datang ke pejabat nanti. Tentu dia pun ingin benar berkenalan dengan cik," sambung Micheal McCormick tanpa dipinta.

"Err, ya. Terima kasih," ujar Farisa lebih yakin sedikit berbanding tadi.

"So, shall we start?" tanya Micheal McCormick seraya memandang pekerja-pekerjanya.

Masing-masing mengangguk lalu mengeluarkan segala yang diperlukan. Farisa turut berbuat demikian kerana sudah lebih dari seminggu yang lalu dia melakukan persiapan untuk mesyuarat hari ini.

Dari jauh Mak Piah sudah nampak kereta Citroen bewarna biru gelap menyusuri lorong menuju ke rumahnya. Kereta biru itu berhenti dihadapan rumah Mak Piah. Seorang gadis berbaju kurung hijau cerah keluar dari kereta sambil menanggalkan cermin mata hitam yang dipakainya. Bibir gadis itu mengukir senyum lebar.

"Assalamualaikum, mak!" jerit Farisa dari anak tangga walaupun ibunya tidaklah berada jauh sangat.

"Waalaikumussalam, naiklah", balas Mak Piah yang sedang duduk di beranda. Farisa tergesa-gesa naik lantas duduk di sisi ibunya.

"Ini Ris ada belikan pisang goreng untuk mak."

Bungkusan pisang goreng dihulurkan kepada Mak Piah. Orang tua itu menyambut sedang matanya tidak lepas memandang wajah Farisa.

"Kenapa mak tengok Ris macam tu ?" Farisa bertanya setelah menyedari dirinya diperhatikan.

"Lain benar senyum kamu hari ni. Mesti mesyuarat tu berjalan lancar."

"Ya, Alhamdulillah, mak. Mereka tu baik juga."

"Eh, eh, semalam bukan main lagi takut, cakap mereka garanglah, tak mesralah, macam robotlah."

"Itu semalam mak, sebelum kenal mereka. Tapi memang betul Ris sendiri pun tak sangka mereka semua sebaik tu."

"Kenapa?"

"Iyalah, orang yang bekerja dengan syarikat besar ni lain mak. Selama ni Ris cuma bekerja dengan syarikat-syarikat kecil, manalah tahu perangai mereka.”

"Macam-macamlah kamu ni Ris. Mak nak makan pisang goreng ni, pergilah ambilkan pinggan. Buatkan minuman sekali, ya."

"Baiklah, mak intan payung."

Farisa bangun dari duduk. Beg tangan serta fail yang dibawa naik tadi dicampakkan ke atas sofa di ruang tamu. Tudungnya juga dibuka dan disangkutkan pada penyangkut baju di dinding yang memisahkan dapur dengan ruang tamu. Sedang Farisa sibuk di dapur, Mak Piah asyik termenung di beranda. Terkenangkan masa silamnya bersama anak-anak. Susah payah dia membesarkan anak-anak itu tanpa suami di sisi. Saban hari membanting tulang demi sesuap nasi. Siang dan malam Mak Piah bekerja tanpa jemu. Oleh kerana semua kerja yang dilakukan hanyalah kerja kampung, jadi upahnya tidaklah seberapa. Mereka sekeluarga harus berjimat-cermat sehingga kadang-kadang terpaksa mengikat perut. Lagipun apalah sangat harta yang ditinggalkan oleh seorang pekerja Majlis Perbandaran seperti Pak Othman selain sebuah rumah buruk dan tanah sekangkang kera. Kerjanya mulia tapi tak ada sesiapa yang hendak pandang. Walhal tanpa orang seperti arwah Pak Othman yang menjaga kebersihan, pasti orang-ramai tidak dapat hidup senang dikelilingi sampah-sarap yang busuk. Kerja Pak Othman, dalam diam berjasa pada negara.

Namun, sejak Pak Othman meninggal, Mak Piah terpaksa bertugkus-lumus menyara keluarga. Syukurlah dua orang anaknya sekarang sudah berjaya mencapai cita-cita mereka.

"Alif ke mana, mak?" suara Farisa yang baru muncul dari dapur mengejutkan Mak Piah dari lamunan.

"Ke mana lagi kalau tidak ke mahkamah."

"Ada kes lagi? Semalam kan dah pergi."

"Entahlah, mak pun tak faham dengan kerjanya."

"Dia kerja kuat sangat."

"Kamu tu apa kurangnya."

"Saya lain, mak."

"Lain apanya, anak mak juga."

Farisa hanya terseringai bodoh. Malas dia hendak menjawab kata-kata ibunya. Kalau dijawab nanti panjang pula ceritanya.

Secawan teh dihidangkan di hadapan Mak Piah dan secawan lagi dihidangkan untuknya. Bungkusan pisang goreng pula dibuka lalu diletakkan ke dalam pinggan. Tanpa menunggu dia dipelawa, Mak Piah terus menjamah pisang goreng yang masih panas itu. Farisa turut berbuat demikian. Masing-masing diam membisu, melayan perasaan sambil menikmati makanan yang dikunyah. Ketika mereka dua beranak sedang asyik itulah telefon berdering tiba-tiba .

"Biar Ris yang angkat," ujar Farisa lantas bangun dan melangkah ke kabinet telefon bersebelahan sofa. Gagang diangkat lalu didekatkan ke telinga.

"Hello?"

"Hello?! Kak Ris?"

Bunyi bising dengan suara yang tenggelam timbul menerjah ke telinga. Dia cam benar akan suara itu.

"Hello, Lif . Apa hal?"

"Aku tak dapat balik la malam ni, kak.”

"Kenapa? Kau kan dah janji....."

"Alaa, pandai-pandai akaklah beritahu mak. Aku tak boleh cakap lama ni. 'Line' tak elok. Kirim salam kat mak.”

"Kau kat mana.......hello? Alif?"

Talian putus. Suara Alif tidak lagi kedengaran. Farisa merungut kecil. Gagang telefon diletakkan semula ke pesawatnya.

Mak Piah yang masih berada di beranda menunggu anaknya datang semula. Dia menanti kalau-kalau Farisa ingin memberitahunya sesuatu. Tetapi Farisa kembali duduk di beranda dan menyambung kunyahannya tadi seolah tidak menghiraukan Mak Piah.

"Siapa yang telefon tadi?" soal Mak Piah kurang sabar.

Farisa cuma tersenyum kambing sambil mengangguk. Langsung tidak mahu menjawab.

"Alif yang telefon?" soal Mak Piah lagi.

Untuk kali yang kedua Farisa terangguk-angguk macam belatuk.

"Apa dia kata?"

"Tak ada apa-apa."

"Dia tak jadi balik malam ni ?"

Jelas Mak Piah masih tidak berpuas hati. Farisa tidak mampu lagi mengelak. Otaknya ligat mencari alasan.

"Ya, mak.”

"Dia tidur di pejabat lagi malam ni ?"

"Alaaa, biasalah tu, mak. Orang baru buka firma guaman sendiri, mestilah kerja kuat. Nanti syarikat tak maju."

"Pandailah kamu buat alasan. Hish, memang naik risau mak tengok kamu berdua bekerja. Siang malam, tak menentu."

"Tapi Ris kerja kat rumah.”

"Kat rumah pun, selagi belum pagi , selagi tulah kamu mengadap benda empat segi tu."

"Komputer, mak.”

"Iyerlah. Tapi kamu berdua kerja kuat sangat. Duit yang kamu cari tu bukan boleh dibawa mati. Mak dah cukup bersyukur dengan kesenangan yang kita kecapi sekarang. Duit tak bermakna bagi mak, anak- anak yang lebih penting.”

Lagi-lagi Farisa senyum. Dia tidak mahu berkata apa-apa untuk membalas kata-kata ibunya. Jika dibalas nanti semakin panjang pula omelan Mak Piah. Silap-silap haribulan, menangis pula orang tua itu. Mak Piah memerhati air muka anaknya. Ternyata Farisa kelihatan tidak berminat untuk menyambung perbualan. Kerana itu Mak Piah turut berdiam diri.

No comments:

Post a Comment

Followers