Tuesday, February 23, 2010

Bab 1 - part i : Kasih Zubaidah

Awan nipis berarak tenang. Kelihatan sang mentari gah bersinar menimpa cahaya keemasannya ke bumi yang tandus. Lantas setiap kali sepasang kaki bercapal tua itu melangkah, debu-debu kering berteraburaan di udara.

Tuk Jusuh mendongak ke langit. Perit matanya melawan silau yang menerjah. Lalu dia kembali tunduk. Disekanya peluh yang memercik yang memercik di dahi dengan kain serban yang tersangkut di bahunya.

“Ish, panas betul!” rungut Tuk Jusuh sendirian lantas meneruskan langkahnya.

Pandangan orang tua itu dihala ke depan seolah dia sudah tidak sabar hendak sampai ke destinasi. Lega benar hatinya apabila terpandang sebuah wakaf buruk yang terletak di simpang jalan. Kelihatan kosong saja wakaf itu. Selalunya ada juga seorang dua penduduk kampung yang bertenggek di situ, menunggu van Ah Lek atau kereta sesiapa saja yang sudi membawa mereka ke pekan. Agaknya kerana cuaca panas begini tidak ramai yang suka keluar rumah. Dia pun keluar meredah bahang panas kerana terpaksa. Jika tidak, tidak mahu dia berpenat-lelah begini.

Akhirnya Tuk Jusuh tiba di wakaf itu. Tidak berlengah dia melabuhkan punggung di lantai wakaf untuk melepaskan penat. Peluh masih berjuraian membasahi pakaian lusuhnya. Sewaktu Tuk Jusuh sedang berehat itulah, tiba-tiba telinganya terdengar bunyi deru enjin kereta. Pantas dia menoleh, melihat sebuah kereta Toyota putih yang semakin mendekat. Dalam tidak sedar Tuk Jusuh melampiaskan senyum. Ada juga rezekinya hendak menumpang kereta orang hari ini. Nasib baik betul.

Tuk Jusuh masih duduk berjuntai kaki walaupun kereta Toyota itu semakin lama semain hampir. Dia cukup yakin tuan punya kereta akan berhenti di hadapannya. Tidak perlu dia menahan kereta itu kerana dia orang yang dihormati dalam Kampung Lubok Kerayong. Pasti tuan punya kereta akan sudi menumpangkan dia.

“Eh?”

Wak Semian berkerut dahi. Kereta tadi tidak berhenti seperti yang disangka. Sebaliknya Toyota putih terus saja berlalu meninggalkan debu-debu kering yang kotor. Tuk Jusuh mengetap bibir. Buntang matanya merenung kereta itu. Namun tanpa disangka, Toyota putih tadi berhenti mendadak. Kemudian ia berundur pula sehingga berhenti betul-betul di hadapan Tuk Jusuh. Wajah Ismail, pemuda luar yang baru berpindah ke Kampung Lubok Kerayong terbias pada layar pandang sebaik-sahaja tingkap kereta dibuka. Tuk Jusuh buat-buat tidak nampak.

“Assalamua’laikum, Wak.”

“Waa’laikumussalam, hah, kamu Mail.”

“Wak nak ke mana ni? Panas panas macam ni?”

“Aku ada hal sikit. Kamu tu dari mana?”

“Baru balik dari pejabat. Wak nak ke rumah siapa? Marilah saya tolong hantarkan.”

“Hmm, tak apa. Aku nak ke rumah Hashim. Dah dekat dah. Terima kasih sajalah.”

Angkuh sekali Tuk Jusuh menuturkan kata. Kalau hendak diikutkan hati, mahu saja Ismail tinggalkan si tua itu di situ. Tapi dia sabarkan diri. Semasa dia mula-mula pindah ke sini dulu, Hashim sudah berpesan kepadanya mengenai Tuk Jusuh.

“Oh, Wak nak ke rumah Hashim menjenguk anak-anak kembarnya ke? Marilah saya hantarkan. Rumah saya dah dekat benar dengan rumah Hashim tu. Kami ni kan berjiran.”

“Aku tahu.”

“Masa saya lalu depan wakaf tadi saya tak perasan pula ada orang. Tapi bila saya pandang cermin, ternampak Wak. Itu yang saya patah balik tu. Maaf ya, Wak. Marilah naik.”

Huh, sudah jenuh Ismail memujuk. Malah rasanya dia sudah cukup merendah diri. Kali ini kalau orang tua itu enggan naik juga, dia nekad akan meninggalkannya di situ.

“Hmm, iyalah. Kalau kau bersungguh nak tumpangkan aku, ikut je lah.”

Nasib baik Tuk Jusuh tidak terus jual mahal. Jika tidak, harapan hendak menumpang kereta baru Ismail hanya tinggal harapan. Ismail cepat-cepat membuka pintu kereta untuk orang tua itu. Bimbang kalau terlambat, merajuk pula Tuk Jusuh.

Rumah kecil beratap rumbia dan zink. Perkarangannya bersih dan kemas. Pohon-pohon mangga dan rambutan tumbuh menghijau menghiasi laman. Setiap kali bayu bertiup, bunyi desir dedaun cukup mendamaikan sekalipun cuaca panas terik. Tuk Jusuh meninjau rumah itu seketika sebelum keluar dari kereta Ismail.

“Assalamua’laikum! Hashim! Oo, Hashim!” panggil Tuk Jusuh sambil mengibas-ngibas kain serbannya. Sedang Ismail turut keluar dari keretanya. Berminat juga untuk dia tahu akan tujuan Tuk Jusuh menziarah Hashim petang itu. Lagipun selaku jiran dan kawan baik Hashim, tidak salah untuk dia tahu.

“Waa’laikumussalam,” kedengaran sebuah suara parau menyahut dari dalam rumah. Tidak lama selepas itu wajah Hashim terjengol keluar melalui tingkap yang terbuka luas. Tersenyum lebar bibirnya melihat kelibat Tuk Jusuh dan Ismail di halaman rumah.

“Oh, Wak dah sampai. Mail pun ada. Naiklah, naik,” jemput Hashim kepada tetamunya.

“Ya, kalau kamu dah jemput, kami naiklah ni. Takkan nak lari pula,” omel Tuk Jusuh lantas memijak anak tangga rumah Hashim satu demi satu dan diikuti oleh Ismail.

Sewaktu mereka melangkah bendul pintu, Hashim sedang sibuk membentangkan tikar mengkuang baru di tengah ruang rumah.

“Jemput duduk Wak, Ismail. Selerak sikit rumah ni. Maaf ya. Sejak isteri saya dalam pantang, rumah ni dah jarang berkemas,” ujar Hashim merendah diri.

“Tak apa, Shim. Memang patut pun kau beri isteri kau tu banyak berehat. Anak-anak kau mana?” balas Tuk Jusuh sewaktu duduk mengemas sila di atas tikar mengkuang yang baru dibentang oleh tuan rumah tadi.

“Hmm, hero-hero yang dua orang tu buat apa lagi petang-petang macam ni kalau tidak ke hutan melastik burung. Si Azran asyik berkepit dengan ibunya. Ada kat dalam bilik tu ha. Sedang tengom mak dia mandikan adik-adiknya,” jawab Hashim ramah.

“Gembiralah kau, Shim. Dah lama kau mengidam nak anak perempuan. Dapat pula dua sekaligus. Kembar!” sampuk Ismail selepas membisu sejak tadi. Hashim terangguk-angguk dalam senyum lebar.

“Ya, Mail. Alhamdulillah, tercapai juga hasrat kami nak menimang anak perempuan.”

Jelas di wajah Hashim kegembiraan menyambut orang baru yang dinanti-nati selama ini. Ismail pun turut terasa tempiasnya.


No comments:

Post a Comment

Followers