Monday, February 8, 2010

BAB 5


Farisa memandang jauh ke hadapan. Asyik memerhati biasan cahaya matahari pada permukaan tasik yang beralun tenang. Kanak-kanak yang berada di sekitar taman permainan berdekatan tasik itu pula kelihatan cukup gembira. Mereka saling berkejaran sesama sendiri diselangi gelak tawa yang menghiburkan hati. Dalam tidak sedar, Farisa tersenyum sendiri. Perasaannya turut berbunga riang melihatkan gelagat mereka berserta belon-belon pelbagai warna berterbangan ditiup angin.

Beberapa minit berlalu, Farisa bangkit dari duduk, bosan kerana sudah lama dia asyik duduk bersendirian di atas bangku itu. Kakinya melangkah menyusuri sekitar kawasan taman. Niatnya tadi tidak mahu berlama di situ. Namun kemeriahan ‘Hari Keluarga’ anjuran Fortress Holding Berhad di tasik itu seakan menghalang Farisa untuk pulang segera. Rata-rata yang hadir membawa keluarga masing-masing. Barangkali hanya dia yang datang berseorangan, sekadar memenuhi jemputan.

“Farisa!”

Tiba-tiba dia terdengar namanya diseru dari kejauhan. Farisa tercari-cari tuan empunya suara yang memanggil tadi. Orang ramai yang berada di sekitar kawasan itu menyukarkannya.

“Datang juga awak, ya,” suara tadi kedengaran lagi beserta cuitan di bahunya. Farisa segera menoleh ke belakang.

“Oh, encik rupanya,” balas Farisa walaupun agak terkejut melihat wajah yang terbias pada layar korneanya saat itu.

“Iya, saya. Kenapa? Tak suka jumpa saya?” tanya Micheal McCormick bernada gurauan seraya menanggalkan cermin mata hitamnya.

“Tidaklah.”

“Habis tu?”

“Saya tak sepatutnya datang. Majlis ini hanya untuk ahli keluarga FHB. Saya pula pekerja sambilan saja.”

Micheal McCormick tertawa kecil walaupun Farisa tidak berniat untuk berseloroh. Terserlah lesung pipit pada pipi kirinya apabila dia tersenyum begitu.

“Janganlah terlalu merendah diri Farisa. Sejak awak tandatangan kontrak dulu, kami dah anggap awak sebahagian daripada kami. Awak tak bawa keluargakah?”

“Tak.”

Nevermind, it’s okay. Jom, kita lihat kawasan sekitar. Meriah, kan?”

Farisa mengangguk laju dalam senyuman. Kemudian mereka melangkah seiringan melewati sekitar tasik. Suasana sekeliling masih riuh-rendah dengan para pengunjung yang pelbagai gelagat.

“Farisa, boleh saya tanya sesuatu?” suara Micheal McCormick mengetuk gegendang telinga selepas mereka saling membisu seketika.

“Tanyalah,” jawab Farisa bersahaja meski hatinya tidak sabar untuk mendengar soalan yang bakal dilemparkan oleh majikannya.

“Kenapa you nak kerja sebagai free-lance programmer?” serius sekali nada suara Micheal McCormick sehingga membuatkan Farisa tertawa kecil. Entah mengapa hatinya tercuit melihat kerut wajah Micheal McCormick tika itu. Encik MmcCormick sekadar terseringai bodoh kerana kurang faham mengapa Farisa ketawa.

“Saya lebih suka bekerja di rumah.”

“Tapi ramai juga pekerja tetap FHB bekerja di rumah terutamanya pengaturcara macam awak.”

“Entahlah. Barangkali saya tak suka lama-lama di suatu tempat.”

“Lagipun lebih menguntungkan, kan?”

“Mungkin, kenapa encik tanya?”

No reason.”

Micheal McCormick menjungkitkan bahunya. Dia tidak lagi menyoal pekerjanya. Mereka berdua menghalakan pandangan ke hadapan. Tidak jauh dari tempat mereka berdiri, sekumpulan pekerja atasan Fortress Holding Berhad melambai-lambai ke arah Micheal McCormick. Mendadak saja Farisa diserang perasaan serba-salah melihatkan sebahagian besar daripada mereka tidak dikenalinya.

Okay, promise me. From now on you must call me Daniel. Mereka semua memanggil saya begitu. Nanti pelik pula awak berencik-encik dengan saya,” ujar Micheal McCormick sambil kakinya melangkah menuju ke arah sekumpulan pekerja tadi yang sedang duduk di atas beberapa buah bangku.

Okay, I promise, Daniel” janji Farisa lantas mengekori Daniel dengan hati yang berat. Setiap pasang mata yang berada di bangku itu menyambut kedatangan Daniel dan Farisa dengan pandangan yang kurang menyenangkan. Rimasnya Farisa bukan kepalang. Apatah lagi beberapa orang gadis yang berada di situ saling berbisik sesama sendiri dan merenungnya semacam.

“Hey, nampaknya semua dah datang. Tentu kamu semua dah kenal Cik Farisa kan?” Daniel menyapa terlebih dahulu. Mungkin dia juga kurang senang kerana diperhatikan begitu.

“Apa khabar semua?” ucap Farisa berbahasa.

“Baik,baik,” balas mereka yang berkumpul di situ. Farisa masih menjadi perhatian mereka.

“Eh, comelnya. Anak you?” cepat-cepat Farisa menegur Lai Yuen yang berada berdekatan untuk menghilangkan rasa janggal dalam dirinya. Pipi bayi yang berada dalam dukungan Yuen dicubit perlahan. Sememangnya dari tadi lagi bayi comel itu menarik perhatian Farisa.

“Bukanlah, I kan belum kahwin lagi la.”

“Ups, sorry. Habis tu anak siapa?”

“Cubalah you perhatikan betul-betul, kemudian cuba teka,” jawab Yuen sambil melirik ke arah Daniel.

Farisa senyum terpaksa. Mereka semua seolah menanti jawapan darinya. Farisa memerhati semula bayi tadi. Matanya bundar dan berwarna kecoklatan, rambutnya bewarna keperangan, berkulit cerah dan berhidung mancung. Terbayang di fikiran Farisa akan wajah seseorang lantas dia menoleh ke arah Daniel.

Yes, she is my daughter, Samantha is her name. Please excuse us, ladies and gentlemen,” pantas Daniel mencelah seakan dapat membaca fikiran Farisa saat itu. Bayi yang berada dalam dukungan Yuen diambilnya lalu beredar dari situ selepas meminta agar Farisa menurutinya. Mahu tidak mahu Farisa terpaksa ikut. Lagipun dia tidak mahu terus menjadi sasaran mata mereka semua.

Daniel membawa Farisa ke arah sepohon pokok ketapang yang rendang di tepi tasik. Sambil mendukung Samantha, dia bersusah-payah untuk duduk. Tanpa banyak soal, Farisa turut melabuhkan punggung ke atas rumput yang menghijau di bawah pokok ketapang itu. Samantha merengek kecil. Daniel cuba memujuk tapi bayi yang berusia lima bulan lebih itu terus merengek.

“Biar saya cuba,” pinta Farisa lalu Samantha bertukar tangan.

Anehnya, sebaik sahaja berada dalam dukungan Farisa, rengekan Samantha tidak lagi kedengaran. Melihatkan perubahan itu, Farisa jadi seronok.

“Ah, dah berhenti menangis. Dia rindukan ibunya agaknya,” ujar Farisa gembira seraya mencium hidung Samantha. Daniel hanya memerhati dalam senyuman .

She’s so cute. Mesti ibunya cantik. Mana Mrs McCormick? Dia tidak datang sekalikah ?” pertanyaan Farisa tidak terjawab.Sebaliknya Micheal McCormick mengeluh berat. Kekeruhan terbayang pada air mukanya.

“Saya dan ibu Samantha sudah berpisah.”

Jawapan dari Micheal McCormick kedengaran agak perlahan tetapi sudah cukup didengari oleh Farisa. Gadis itu menggigit bibir, segera sedar yang dia telah tersilap cakap.

“Maafkan saya. Saya tidak bermaksud…”

“Tidak apa. Saya dah biasa dengan soalan sebegitu. Sekarang, sudah setahun lebih kami berpisah. Selepas menyerahkan Sam kepada saya lima bulan dulu, dia berhijrah ke luar negara dan saya dengar dia sudah bahagia dengan orang lain.”

Daniel tunduk memandang tanah. Rerumput yang menghijau di tarik-tariknya semacam cuba melepaskan geram.

“Encik…..”

“Daniel.”

“Emm…sorry,..awak tak perlu bercerita kepada saya, Daniel. Cerita tu mungkin terlalu peribadi bagi awak.”

“Memang saya mahu ceritakan kepada awak. Kalau boleh biar semua orang juga tahu. Sebab itulah saya memberanikan diri membawa Sam hari ini. Saya dah jelak mendengar mereka asyik mengumpat di belakang saya.”

“Mulut manusia memang susah nak di jaga.”

Daniel mengangguk kecil, sependapat dengan Farisa.

Keriuhan kawasan sekitar langsung tidak mengganggu perbualan mereka berdua. Mereka terus duduk di situ, berbual sehingga hari hampir senja.

2 comments:

  1. Sya sebenarnya bercadang nak beli novel ni.... kerana sya rasa jalan ceritanya menarik... Sya dah baca bab yang ada kat sini...setakat ni sya suka... Cuma apa yang sya harap novel ini berakhir dengan happy ending...biasalah kan, sya sebagai pembaca inginkan sesuatu yang menggembirakan......
    Apa pa pun sya ucapkan tahniah untuk novel ini.
    P/s : kalau awak ada FB bolehlah add sya ya..
    blog sya : www.mumsarecool.blogspot.com
    Terima kasih dan sya doakan semuga terus berkarya dan berjaya.....amin

    ReplyDelete
  2. Terima kasih atas sokongan mummy hanan...beli tau jangan tak beli sebab novel ni happy ending ;-)...saya akan cuba berusaha untuk terus berkarya..selamat membaca!

    ReplyDelete

Followers