Empat tahun berlalu.
Cermin tingkap kereta sengaja dibiarkan terbuka lebar. Angin pagi yang sejuk berlumba-lumba menerobos masuk. Farisa menarik nafas dalam-dalam. Bibirnya mengukir senyuman. Perasaan gembira jelas tergambar pada air mukanya. Sungguh dia merasa cukup bersemangat hari ini. Apatah lagi dia merasa lebih segar dengan hembusan angin yang menerjah pipi.
Namun sebaik memasuki kawasan bandar, Farisa segera menaikkan tingkap kereta. Alat penghawa dingin kereta dipasang. Sebuah keluhan kecil dilepaskan. Jalan di hadapanya sekarang tidak lagi selengang tadi. Pelbagai jenis kenderaan bertali arus menyekat perjalanannya. Asap kereta berkepul-kepul memenuhi kawasan sekitar. Farisa mula rimas. Pun begitu dia meneruskan juga perjalananya. Dia perlu segera sampai ke destinasi. Hari itu adalah hari yang penting baginya. Dia tidak mahu segala usaha yang dicurahkan untuk hari itu jadi sia-sia. Segala persiapan telah dilakukan dengan teliti.
Hampir setengah jam kemudian barulah kereta Citroen Farisa membelok masuk ke perkarangan tempat letak kereta yang ditujuinya. Sekitar kawasan bangunan ibu pejabat Fortress Holding Berhad (FHB) sudah sibuk. Agak sukar juga untuk Farisa menempatkan keretanya. Setelah mematikan enjin kereta, Farisa membetulkan tudung. Pintu kereta dibuka, bangunan setinggi 40 tingkat semakin jelas tersergam dihadapan mata. Khabarnya menara FHB itu baru dirasmikan empat tahun yang lalu.
Jantung Farisa berdegup laju. Dia keluar dari perut kereta, memijak tar yang membahang di panah cahaya matahari pagi. Sekilas dia melirik ke arah jam di pergelangan tangan. Saat itu tiba-tiba saja matanya berpinar. Dia tidak mampu melihat angka yang tertera pada jam.
Farisa masuk semula ke dalam kereta. Dia cuba untuk bertenang. Barangkali suasana yang agak merimaskan serta debaran yang terasa menjadikan dia sebegitu. Setelah keadaan dirasakan seperti biasa semula, Farisa keluar dari kereta. Baju kurungnya yang agak keromot dibetulkan. Farisa menyedut nafas dalam-dalam lantas melangkah ke arah pintu utama ibu pejabat Fortress Holding Berhad selepas mengunci pintu kereta.
Dua orang gadis berpakaian seragam syarikat tersenyum lebar, menyambut kedatangan Farisa di ruang legar bangunan. Seketika Farisa terpegun melihat keindahan ciptaan manusia. Segan rasanya hendak memijak lantai yang berkilat bagaikan biasan air pada permukaan tasik. Demi menyembunyikan perasaan segan itu, Farisa melampiaskan senyum seraya menghampiri kaunter penyambut tetamu.
"Good morning, how can I help you?" sapa salah seorang gadis penambut tetamu sebelum sempat Farisa bertanya.
"Err, morning. Saya Cik Farisa Othman. Dimana saya boleh jumpa Encik McCommick?"
"Oh, Cik Farisa. Mari ikut saya.”
Gadis yang mula-mula menyapa tadi bangkit dari duduk. Dia membawa Farisa ke lif.
" Encik McCommick serta ahli lembaga pengarah yang lain sedang menunggu cik di dewan mesyuarat Delta," jelas gadis itu tanpa dipinta semasa mereka melangkah keluar dari lif ditingkat 11. Farisa cuma terangguk-angguk tidak mampu bersuara kerana debarannya yang semakin mencengkam. Sewaktu mereka berhadapan dengan sebuah pintu yang besar, gadis itu mematikan langkah. Rupa bentuk pintu besar dihadapan mereka kelihatan tidak ubah seperti rupa bentuk pintu yang terdapat di istana lama Eropah. Hampir-hampir sama seperti yang dilihat oleh Farisa semasa melawat tempat-tempat bersejarah di Rom sewaktu dia belajar di England dulu.
"Mr. McCormick, she's here," suara gadis tadi sambil tangannya memegang butang hijau ditepi pintu. Serentak itu juga pintu besar dihadapan mereka terkuak lebar. Luruh rasanya jantung sewaktu melihat keluasan dewan mesyuarat Delta. Ditambah pula lima pasang mata yang memandangnya tidak berkelip, Farisa jadi benar-benar gemuruh. Gadis penyambut tetamu tadi meninggalkannya masuk ke dewan mesyuarat Delta bersendirian.
" Silakan masuk cik Farisa", pelawa salah seorang daripada mereka berlima yang duduk di hujung meja. Hidungnya yang mancung, berkulit cerah serta berambut agak keperangan membezakan dia daripada orang lain. Barangkali itulah Micheal McCormick, Tuan Pengarah Fortress Holding Berhad. Nama yang sering disebut-sebut oleh Enck Kasman, bekas majikannya selama ini. Satu nama yang sudah gah dalam dunia perniagaan serantau. Syarikat yang dibina keluarganya sudah lebih setengah dekad menempa nama.
"Silalah duduk, cik. Kami tidak bermaksud hendak menakutkan cik dengan menggunakan dewan mesyuarat sebesar ini. Bilik-bilik mesyuarat yang lebih kecil sedang digunakan untuk seminar. Silalah duduk," sambung pemuda yang disangka Micheal McCormick setelah melihat Farisa teragak-agak.
Sungguh menghairankan jika ingin membandingkan sifat luaran lelaki itu dengan percakapannya. Mulutnya begitu fasih bertutur dalam Bahasa Melayu. Tidak pelat sedikit pun. Seakan bahasa itu sudah sebati dengan dirinya.
"Ya, terima kasih," balas Farisa sopan. Dia memilih kerusi disebelah seorang gadis Cina untuk duduk.
"Saya Daniel McCormick. Di sebelah awak tu, setiausaha peribadi saya, Lai Yuen. Di sebelah kiri saya, Encik Razak, Encik Amran dan Encik Salleh."
Tanpa berlengah, pemuda Mat Salleh tadi memperkenalkan diri sekaligus mengusir sangkaan Farisa yang meleset sama sekali. Farisa terangguk-angguk sambil membalas senyuman mereka.
"Apa khabar ?" tutur Farisa berbahasa
"Baik . . .baik," balas mereka semua dengan mesra. Lega hati Farisa melihat senyuman mesra mereka. Dia kembali menumpukan perhatian kepada Daniel McCormick. Lelaki itu asyik membelek dokumen di hadapannya. Ternyata dia bukan Michel McCormick, kenalan Encik Kasman. Anaknya Micheal barangkali? Melalui cerita Encik Kasman, Micheal McCormick adalah seorang lelaki dalam lingkungan umur 50-an dan berasal dari Ireland. Mereka telah berkenalan di kelab golf lantas membibitkan persahabatan yang cukup akrab.
Baru-baru ini Micheal McCormick telah menyatakan hasratnya untuk mencari seseorang yang cekap bagi mengendalikan salah satu projek besar Fortress Holding Berhad. Lantas Encik Kasman tidak teragak-agak mencanangkan nama Farisa kepada lelaki itu. Tidak teragak-agak Micheal McCormick menerima Farisa bekerja di syarikatnya sebagai pengaturcara komputer.
Jasa baik Encik Kasman telah membawa Farisa menjejaki Fortress Holding Berhad. Kontrak selama dua tahun sudah ditandatangani di hadapan wakil syarikat Fortress Holding Berhad dua hari lepas. Dari situlah Farisa kini sedang berhadapan dengan Daniel McCormick.
"Emm,saya pasti urusan kontrak cik telah diselesaikan?”suara Daniel McCormick mengheret Farisa daripada terus tenggelam dalam dunianya sendiri. Gawat apabila dia merasakan dirinya terus menjadi perhatian. Lebih-lebih lagi mata bundar berwarna biru itu sedang menatapnya meminta kepastian.
“Err, ya, ya. Semuanya dah diuruskan. Atau ada apa-apa yang saya tertinggal?” gugup sekali percakapan Farisa. Cepat-cepat Daniel McCormick menggelengkan kepala.
“Tak, tak ada masalah. Bapa saya dah beritahu saya mengenai Cik Farisa. Lagipun Encik Kasman baik dengan kami sekeluarga dan selalu sebut-sebut nama cik. Cik tentu kenal bapa saya kan, Micheal McCormick?" tukas Daniel McCormick sekaligus menjawab persoalan yang berselirat di kepala.
“Tak, saya tak berpeluang untuk berkenalan dengan dia lagi.”
"Ah, tak ada masalah. Bapa saya ambil keputusan untuk bersara lebih awal tapi dia akan selalu datang ke pejabat nanti. Tentu dia pun ingin benar berkenalan dengan cik," sambung Micheal McCormick tanpa dipinta.
"Err, ya. Terima kasih," ujar Farisa lebih yakin sedikit berbanding tadi.
"So, shall we start?" tanya Micheal McCormick seraya memandang pekerja-pekerjanya.
Masing-masing mengangguk lalu mengeluarkan segala yang diperlukan. Farisa turut berbuat demikian kerana sudah lebih dari seminggu yang lalu dia melakukan persiapan untuk mesyuarat hari ini.
Dari jauh Mak Piah sudah nampak kereta Citroen bewarna biru gelap menyusuri lorong menuju ke rumahnya. Kereta biru itu berhenti dihadapan rumah Mak Piah. Seorang gadis berbaju kurung hijau cerah keluar dari kereta sambil menanggalkan cermin mata hitam yang dipakainya. Bibir gadis itu mengukir senyum lebar.
"Assalamualaikum, mak!" jerit Farisa dari anak tangga walaupun ibunya tidaklah berada jauh sangat.
"Waalaikumussalam, naiklah", balas Mak Piah yang sedang duduk di beranda. Farisa tergesa-gesa naik lantas duduk di sisi ibunya.
"Ini Ris ada belikan pisang goreng untuk mak."
Bungkusan pisang goreng dihulurkan kepada Mak Piah. Orang tua itu menyambut sedang matanya tidak lepas memandang wajah Farisa.
"Kenapa mak tengok Ris macam tu ?" Farisa bertanya setelah menyedari dirinya diperhatikan.
"Lain benar senyum kamu hari ni. Mesti mesyuarat tu berjalan lancar."
"Ya, Alhamdulillah, mak. Mereka tu baik juga."
"Eh, eh, semalam bukan main lagi takut, cakap mereka garanglah, tak mesralah, macam robotlah."
"Itu semalam mak, sebelum kenal mereka. Tapi memang betul Ris sendiri pun tak sangka mereka semua sebaik tu."
"Kenapa?"
"Iyalah, orang yang bekerja dengan syarikat besar ni lain mak. Selama ni Ris cuma bekerja dengan syarikat-syarikat kecil, manalah tahu perangai mereka.”
"Macam-macamlah kamu ni Ris. Mak nak makan pisang goreng ni, pergilah ambilkan pinggan. Buatkan minuman sekali, ya."
"Baiklah, mak intan payung."
Farisa bangun dari duduk. Beg tangan serta fail yang dibawa naik tadi dicampakkan ke atas sofa di ruang tamu. Tudungnya juga dibuka dan disangkutkan pada penyangkut baju di dinding yang memisahkan dapur dengan ruang tamu. Sedang Farisa sibuk di dapur, Mak Piah asyik termenung di beranda. Terkenangkan masa silamnya bersama anak-anak. Susah payah dia membesarkan anak-anak itu tanpa suami di sisi. Saban hari membanting tulang demi sesuap nasi. Siang dan malam Mak Piah bekerja tanpa jemu. Oleh kerana semua kerja yang dilakukan hanyalah kerja kampung, jadi upahnya tidaklah seberapa. Mereka sekeluarga harus berjimat-cermat sehingga kadang-kadang terpaksa mengikat perut. Lagipun apalah sangat harta yang ditinggalkan oleh seorang pekerja Majlis Perbandaran seperti Pak Othman selain sebuah rumah buruk dan tanah sekangkang kera. Kerjanya mulia tapi tak ada sesiapa yang hendak pandang. Walhal tanpa orang seperti arwah Pak Othman yang menjaga kebersihan, pasti orang-ramai tidak dapat hidup senang dikelilingi sampah-sarap yang busuk. Kerja Pak Othman, dalam diam berjasa pada negara.
Namun, sejak Pak Othman meninggal, Mak Piah terpaksa bertugkus-lumus menyara keluarga. Syukurlah dua orang anaknya sekarang sudah berjaya mencapai cita-cita mereka.
"Alif ke mana, mak?" suara Farisa yang baru muncul dari dapur mengejutkan Mak Piah dari lamunan.
"Ke mana lagi kalau tidak ke mahkamah."
"Ada kes lagi? Semalam kan dah pergi."
"Entahlah, mak pun tak faham dengan kerjanya."
"Dia kerja kuat sangat."
"Kamu tu apa kurangnya."
"Saya lain, mak."
"Lain apanya, anak mak juga."
Farisa hanya terseringai bodoh. Malas dia hendak menjawab kata-kata ibunya. Kalau dijawab nanti panjang pula ceritanya.
Secawan teh dihidangkan di hadapan Mak Piah dan secawan lagi dihidangkan untuknya. Bungkusan pisang goreng pula dibuka lalu diletakkan ke dalam pinggan. Tanpa menunggu dia dipelawa, Mak Piah terus menjamah pisang goreng yang masih panas itu. Farisa turut berbuat demikian. Masing-masing diam membisu, melayan perasaan sambil menikmati makanan yang dikunyah. Ketika mereka dua beranak sedang asyik itulah telefon berdering tiba-tiba .
"Biar Ris yang angkat," ujar Farisa lantas bangun dan melangkah ke kabinet telefon bersebelahan sofa. Gagang diangkat lalu didekatkan ke telinga.
"Hello?"
"Hello?! Kak Ris?"
Bunyi bising dengan suara yang tenggelam timbul menerjah ke telinga. Dia cam benar akan suara itu.
"Hello, Lif . Apa hal?"
"Aku tak dapat balik la malam ni, kak.”
"Kenapa? Kau kan dah janji....."
"Alaa, pandai-pandai akaklah beritahu mak. Aku tak boleh cakap lama ni. 'Line' tak elok. Kirim salam kat mak.”
"Kau kat mana.......hello? Alif?"
Talian putus. Suara Alif tidak lagi kedengaran. Farisa merungut kecil. Gagang telefon diletakkan semula ke pesawatnya.
Mak Piah yang masih berada di beranda menunggu anaknya datang semula. Dia menanti kalau-kalau Farisa ingin memberitahunya sesuatu. Tetapi Farisa kembali duduk di beranda dan menyambung kunyahannya tadi seolah tidak menghiraukan Mak Piah.
"Siapa yang telefon tadi?" soal Mak Piah kurang sabar.
Farisa cuma tersenyum kambing sambil mengangguk. Langsung tidak mahu menjawab.
"Alif yang telefon?" soal Mak Piah lagi.
Untuk kali yang kedua Farisa terangguk-angguk macam belatuk.
"Apa dia kata?"
"Tak ada apa-apa."
"Dia tak jadi balik malam ni ?"
Jelas Mak Piah masih tidak berpuas hati. Farisa tidak mampu lagi mengelak. Otaknya ligat mencari alasan.
"Ya, mak.”
"Dia tidur di pejabat lagi malam ni ?"
"Alaaa, biasalah tu, mak. Orang baru buka firma guaman sendiri, mestilah kerja kuat. Nanti syarikat tak maju."
"Pandailah kamu buat alasan. Hish, memang naik risau mak tengok kamu berdua bekerja. Siang malam, tak menentu."
"Tapi Ris kerja kat rumah.”
"Kat rumah pun, selagi belum pagi , selagi tulah kamu mengadap benda empat segi tu."
"Komputer, mak.”
"Iyerlah. Tapi kamu berdua kerja kuat sangat. Duit yang kamu cari tu bukan boleh dibawa mati. Mak dah cukup bersyukur dengan kesenangan yang kita kecapi sekarang. Duit tak bermakna bagi mak, anak- anak yang lebih penting.”
Lagi-lagi Farisa senyum. Dia tidak mahu berkata apa-apa untuk membalas kata-kata ibunya. Jika dibalas nanti semakin panjang pula omelan Mak Piah. Silap-silap haribulan, menangis pula orang tua itu. Mak Piah memerhati air muka anaknya. Ternyata Farisa kelihatan tidak berminat untuk menyambung perbualan. Kerana itu Mak Piah turut berdiam diri.
“Apa yang dah berlaku, tuk?” tanya Farisa apabila melihat Tuk Penghulu terdiam beberapa lama. Abang Farid juga tidak banyak bercakap. Tunduk sejak tadi.
“Farid, kamu bawalah dia masuk,” arah Tuk Pengulu kepada Abang Farid. Pertanyaan Farisa tadi dibiarkan berlalu tanpa jawapan. Gundah benar hati Farisa melihat resah dan kesah di wajah mereka.
“Mari, Ris. Mari ikut abang,” suara Abang Farid selepas membisu sejak tadi. Cepat-cepat Farisa menanggalkan kasut sekolahnya dan membuntuti Abang Farid masuk ke dalam rumah. Esak tangis suara seorang perempuan menyapa telinga sebaik-sahaja Farisa melangkah bendul pintu. Pantas mata Farisa mencari tuan empunya suara.
“Mak?” seru Farisa, gamam melihat ibunya menangis teresak-esak. Di sebelah ibunya, Alif sedang diriba oleh Mak Yah, isteri Pak Kob. Alif terkebil-kebil memandangnya tanpa mengerti apa-apa. Namun apa yang paling menggetarkan urat nadi Farisa ialah sewaktu terpandang sekujur tubuh kaku yang terlentang di tengah-tengah rumah. Jasad itu berselimut penuh dari hujung kaki hingga ke hujung rambut. Nafas Farisa mula tercungap tidak teratur.
“Mak..mak..apa yang dah berlaku?” getar suara Farisa menggamit beberapa orang pemuda yang sedang membaca Yassin mengangkat muka. Ibunya juga turut mendongak.
“Ris, mari sini, nak,” seru Mak Piah. Air mata yang membasahi pipi dilap dengan hujung lengan baju kurung. Perlahan-lahan Farisa melangkah mendekati ibunya. Dua tiga orang perempuan yang sedang bersimpuh dilantai mengengsot sedikit untuk memberi ruang kepada Farisa.
“Mak, ” menggigil lutut gadis itu sewaktu melabuhkan punggung disisi ibunya. Hatinya begitu kuat mengatakan jasad kaku yang berselimut itu adalah bapanya. Jika tidak, mengapa Mak Piah menangis sedemikian rupa. Farisa tidak bodoh namun akal warasnya masih enggan untuk mempercayai. Baru pagi tadi dia mencium tangan Pak Othman sebelum bertolak ke sekolah. Dan baru pagi tadi juga Pak Othman mengucup didahinya macam selalu. Pak Othman walaupun tegas dengan anak-anak namun kasih-sayangnya tidak berbelah bagi. Farisa mahu pun Alif tidak pernah berbirat dipukul. Cuma sekali-sekala saja Farisa yang degil terkena cubitan bapanya. Itu pun tidaklah sesakit mana apatah lagi meninggalkan kesan.
“Ris, ayah kamu sudah tak ada,” lirih Mak Piah dan air matanya gugur lagi. Bagai dipanah halilintar, degup jantung Farisa berdegup pantas. Nafasnya tercungap-cungap tidak menentu.
“Tak..!” bisik Farisa berulang-kali. Kolam matanya ditakungi air hangat. Mak Piah mengelap matanya berulang-kali.
“Apa..apa yang dah berlaku..mak?” soal Farisa dalam gugupnya. Sedaya mungkin dia cuba menahan agar air matanya tidak jatuh di pipi. Dia perlu tabah demi Mak Piah dan Alif.
“Ayah kamu..kemalangan di...tempat kerja,” jawab Mak Pian putus-putus menahan sebak. Farisa menarik nafas dalam. Dia cuba mengumpul seluruh sisa kekuatan yang masih ada lalu jemarinya mencapai bucu kain yang menyelimuti kepala arwah bapanya. Perlahan-lahan kain itu diselak. Dapat dirasakannya tangan Mak Yah memegang lembut bahunya.
Wajah tenang Pak Othman yang terpejam rapat terbias pada layar kornea. Pandangan Farisa kabur semula dek air mata. Namun cepat-cepat diseka air mata itu. Dia tidak mahu Mak Piah bertambah sedih.
“Bila..bila kemalangan tu berlaku?”
Farisa melemparkan pertanyaan. Mak Piah hanya mampu menggelengkan kepala dan kembali menangis teresak-esak. Farisa alihkan pandangan kepada Mak Yah, berharap agar orang tua itu dapat memberikan jawapan. Mak Yah mengusap bahunya.
“Pagi tadi, nak.”
“Tak bawa ayah ke hospital ke?”
“Baru sekejap tadi orang hospital bawa balik arwah.”
“Kenapa tidak beritahu Ris di sekolah?”
Suara Farisa agak tinggi. Mak Yah meneguk liur sambil memandang jirannya yang kelihatan sudah tidak larat hendak menangis lagi. Farisa turut menoleh ke arah ibunya.
“Mak, kenapa tidak beritahu Ris di sekolah?” gesa Farisa bagai memarahi orang tua itu.
“Tak sempat, nak,” jawab Mak Piah ringkas.
“Ya, Ris. Tak sempat. Bila orang hospital telefon rumah mak cik pagi tadi, Abang Farid kamu terus hantar mak kamu ke hospital. Pukul 3.00 tadi baru mak kamu sampai ke rumah,” sampuk Mak Yah menjelaskan keadaan sebenar. Mak Piah terangguk-angguk macam belatuk.
“Mak nak..nak..kebumi arwah..lepas Asar nanti.”
Farisa terdiam. Matanya kembali kabur. Ayah, kenapa pergi tak beritahu, Ris? Oh Tuhan, berat dugaan Mu ini. Tidak dapat dia bayangkan kehidupan yang mendatang tanpa ayah. Siapakah yang akan mengejutkannya waktu dinihari untuk sembahyang Subuh? Siapakah yang akan mengingatkannya tentang kerja sekolah? Siapakah yang akan mengajarnya membaca Al-Quran? Lagi beberapa juzuk Farisa akan khatam Quran. Siapa pula yang akan ke kedai membeli gula-gula kepada Alif? Abah, siapakah yang akan melakukan semua itu? Mak tak mampu memikul semuanya. Farisa juga tidak mampu. Bahu gadis itu mula terhenjut-henjut menahan tangis. Kalah pada sebak yang semakin menjerut.
No comments:
Post a Comment