Monday, February 8, 2010

BAB 4


Jam menunjukkan pukul 9.30 pagi. Farisa melangkah masuk ke ruang legar ibupejabat Fotress Holding Berhad. Seperti biasa, gadis penyambut tetamu melampiaskan senyum ke arah Farisa sebagai tanda menyambut kedatangannya. Senyuman mereka berbalas dan tanpa berlengah, Farisa menapak ke arah lif. Walaupun perjumpaan kali kedua dengan Micheal McCormick hanya akan bermula setengah jam lagi, Farisa mahu datang lebih awal.

Ruang legar bangunan itu tidaklah sibuk sangat. Mungkin kerana waktu masuk pejabat sudah berlalu. Farisa tidak perlu berebut lif. Sebaik tiba dihadapan lif, jarinya segera menekan butang untuk ke tingkat 11. Kebetulan pada waktu yang sama, ada orang lain yang baru muncul dari belakang turut menekan butang itu.

"Sorry.”

Hampir serentak mereka mengungkapkan perkataan yang sama. Farisa menoleh ke belakang untuk meminta maaf kali kedua.

"Sorry...Mr. McCormick ?" terpacul nama itu dari bibir Farisa.

"Oh, cik....cik..."

"Farisa.”

"Yes, Farisa Othman, kan ?"

Farisa mengangguk laju. Failnya dipeluk kemas. Entah mengapa dia rasa berdebar-debar walhal itu adalah kali kedua dia berhadapan dengan lelaki berdarah kacukan Cina-Ireland itu.

"Awalnya cik datang. Pembentangan tu pukul 10.00 kan ?"

"Iya, sengaja saya datang awal. Tak mengapakah ?"

“Eh, tak mengapa. Cuma saya rasa tak biasa kerana tidak sempat hendak bersiap-siap untuk pembentangan itu.”

"Kenapa pula encik yang perlu bersiap-siap? Saya yang kena bentang, bukannya encik."

Farisa cuba berseloroh. Encik Mc Cormick tertawa kecil. Serentak dengan itu juga pintu lif terbuka luas. Mereka sama-sama melangkah masuk ke dalam perut lif. Micheal McCormick menekan butang yang tertera nombor 11. Pintu lif kembali tertutup.

Semasa berada di dalam lif, Farisa mahupun Micheal McCormick membatukan diri. Kebisuan antara mereka amat merimaskan Farisa. Dia jadi resah. Mendadak saja suasana sekeliling dirasakan panas. Kepalanya mula berdenyut sakit. Berkerut dahinya menahan sakit. Seluruh tubuhnya pula dibasahi peluh dingin. Farisa memicit-micit sambil memejamkan mata rapat-rapat.

"Tolonglah bukan hari ni..." bisiknya pada diri sendiri. Farisa menarik nafas dalam-dalam. Namun sakitnya tidak juga surut. Malah semakin menyengat.

"Miss Farisa, are you alright ?" Micheal McCormick bertanya selepas melihat keadaan Farisa sebegitu rupa. Farisa menggleng kecil

"Yes, I'm...okay," balasnya dalam sakit yang tak tertahan. Tubuhnya disandarkan ke dinding lif. Dunia sekeliling terasa berputar ligat. Pandangannya semakin gelap dan berpinar.

"No, you're not okay," sangkal Encik Mc Cormick. Dia berganjak mendekati Farisa yang tidak kelihatan tidak keruan. Fail yang dipegang oleh gadis itu tadi bertaburan di lantai lif.

"Farisa !"

Tubuh Farisa hampir terhenyak ke lantai lif. Mujurlah sepasang tangan sasa Encik McCormick sempat menyambutnya. Encik McCormick terduduk sama sambil memangku Farisa yang tidak sedarkan diri.

Lelaki itu diserang panik melihatkan muka Farisa yang pucat lesi.

"Farisa, wake up ! Farisa !" panggilnya berulang-kali. Bahu Farisa digoncang beberapa kali. Tapi tetap tiada sebarang reaksi.

Encik McCormick semakin bingung. Terketar-ketar tangannya sewaktu mengeluarkan telefon bimbit dari kocek seluar. Lantas tiga angka ganjil didailnya. Waktu itulah pintu lif terbuka. Terjengul tiga susuk tubuh yang sedang menanti untuk menggunakan lif. Hampir terbeliak biji mata mereka melihat keadaan Encik McCormick dan Farisa.

"Yuen, help me !" jerit Encik McCormick apabila menyedari salah seorang daripada mereka adalah setiausahanya. Telefon bimbitnya tadi dilemparkan ke sisi lalu tubuh Farisa diangkat dengan berhati-hati. Yuen segera masuk ke dalam perut lif. Dia membantu majikannya mengangkat Farisa.

"Kenapa dengan Farisa, tuan ?" tanya Yuen setelah rasa terkejut reda sedikit.

"Entahlah, dia pengsan tiba-tiba. Saya nak bawa dia ke hospital. Tolong tekan butang untuk ke tingkat bawah.”

"Baiklah.”

Yuen akur menekan butang lif seperti yang dipinta. Matanya tidak lepas memandang degup nafas Farisa yang perlahan.

"Yuen, please pick up my phone and call her family now," ujar Encik McCormick sewaktu lif sedang turun ke tingkat yang paling bawah. Tanpa banyak soal Yuen segera mengambil telefon bimbit Encik McCormick yang tersadai di penjuru kanan lif.

"I......I don't know her number," getus Yuen selepas termangu beberapa ketika.

"Cuba cari dalam hand begnya," usul Micheal McCormick. Beg tangan Farisa dicapai oleh Yuen. Segala isi beg dikeluarkan termasuklah beberapa biji botol aspirin. Yuen dan Micheal McCormick saling berpandangan melihatkan botol-botol aspirin yang bergelimpangan di atas lantai.

"Hurry, find the number, forget about that,” suara Micheal McCormick bernada arahan. Yuen tetap akur.

"Dah dapat !" Yuen menjerit selang beberapa ketika kemudian. Sekeping kad berada dalam pegangannya. Dan ketika itulah pintu lif terbuka lebar, ruang legar Fortress Holding Berhad menjelma pada layar pandang.

"Good, call them.I'll call you at the hospital," ujar Micheal McCormick seraya keluar dari lif sambil mendukung tubuh kecil Farisa. Gelagatnya menjadi perhatian setiap mata yang berada di ruang legar itu. Sedang Yuen terketar-ketar menekan angka pada telefon.

"Hello ?" suara seorang perempuan mengetuk gegendang telinga Yuen sebaik gagang di seberang sana diangkat oleh seseorang.

"Hello, ini rumah Cik Farisa kah?"

"Ya, saya emaknya."

"Auntie, saya ni kawan sekerja Farisa. Baru sekejap tadi dia jatuh pengsan dalam lif."

"Hah, Farisa pengsan ?"

"Auntie jangan risau, majikan saya sudah membawanya ke hospital. Cuma saya nak tahu ada tak Farisa dirujuk kepada mana-mana hospital sebelum ini? Kalau ada, senang sikit nanti dapat berjumpa dengan doktornya terus.”

“Setahu mak cik dia sihat, nak. Tak ada sakit apa-apa. Jarang pergi hospital. Kenapa dengan dia, nak? Macamana keadaannya?”

”Okay, kalau macam tu tak apalah. Sekejap lagi saya akan telefon auntie semula, ya."

"Anak nak bawa dia ke hospital mana?"

"Saya pun belum tahu lagi. Sekejap lagi saya akan telefon balik. Auntie janganlah risau, bersabarlah ya."

"Emm.. Jangan lupa telefon balik, ya. Mak cik akan tunggu panggilan anak. Mak cik nak tengok keadaan anak mak cik tu. Jangan lupa telefon balik, nak."

"Mak cik, tenang. Kejap lagi saya telefon, bye."

Talian dimatikan. Mak Piah meletakkan gagang ke pesawat. Dia terduduk ke lantai. Degup jantungnya semakin pantas. Hatinya cemas memikirkan keadaan Farisa waktu itu. Seingat Mak Piah, Farisa tidak menghidap penyakit yang serius selama ini. Cuma pening-pening sahaja. Itupun mengikut keadaan yang biasanya cuma berlaku kalau dia menghadapi tekanan kerja. Lagipun Farisa jarang mengadu pada Mak Piah kalau dia sakit. Lazimnya gadis itu lebih suka berusaha mengubati sendiri sakit peningnya.

Mak Piah semakin resah. Kalaulah Alif berada di rumah tentu sudah dikerah oleh Mak Piah agar mencari Farisa di setiap hospital. Malangnya Mak Piah kurang pasti dimana Alif berada. Sejak pagi lagi Mak Piah cuba menghubungi anak lelakinya itu. Namun sampai tengahari tadi tidak berjaya.

"Elok aku cuba lagi, " putus Mak Piah seraya mendail nombor telefon bimbit Alif penuh harapan.

Matahari hampir terbenam di ufuk barat. Angin petang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Mak Piah masih termenung di beranda. Gelisah hatinya bukan kepalang. Meski rakan sekerja Farisa mengatakan bahawa Farisa tidak apa-apa melalui telefon tadi, Mak Piah tetap gusar. Puas Yuen menerangkan keadaan sebenar Farisa sewaktu menelefon Mak Piah kali kedua, tapi Mak Piah seolah enggan percaya. Orang tua itu tetap mengesyakki ada sesuatu yang buruk telah berlaku.

Selepas diberitahu hospital tempat Farisa dirawat, Mak Piah berasa bagai mahu terbang segera ke sana. Dia mahu menemui Farisa, tapi puas sudah dia cuba menelefon Alif, tetap tidak dapat. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa gusarnya hati tua Mak Piah. Bagi Mak Piah, hanya Farisa dan Alif sajalah yang ada dalam hidupnya. Mak Piah tiada orang lain selain mereka.

Mak Piah anak yatim piatu, tiada saudara mara. Keluarga arwah suaminya juga semuanya sudah meninggal dunia. Mak Piah tidak putus berdoa agar Farisa tidak apa-apa seperti yang didakwa oleh Yuen. Sedang Mak Piah termenung di beranda itulah, sebuah kereta Ferrari berwarna merah garang menyusuri lorong yang diapit semak dan berhenti betul-betul dihalaman rumah Mak Piah. Mak Piah bangun dari duduk sambil menunggu kemunculan tuan punya kereta itu.

“Betul awak tak apa-apa?”

Micheal McCormick melemparkan pertanyaan itu entah kali yang ke berapa kepada Farisa. Mereka berdua masih belum keluar dari kereta walaupun enjin sudah dimatikan.

“Iya, encik sendiri pun sudah tanya doktor tu, kan?”jawab Farisa bersahaja. Micheal McCormick kelihatan berpuas hati dengan jawapan Farisa. Dia melemparkan pandangan ke luar tingkap kereta. Bertembung pandang dengan Mak Piah yang masih tertinjau-tinjau dari beranda rumahnya.

Is that your mother?” Soalan Micheal McCormick mendapat balasan anggukkan daripada Farisa. Kemudian mereka sama-sama keluar dari perut kereta.

Sebaik kelibat Farisa kelihatan, Mak Piah bergegas turun ke tanah. Cepat-cepat dia mendapatkan anak perempuannya.

“Saya tak apa-apa, mak,” suara Farisa sewaktu ibunya melekapkan telapak tangan ke dahinya.

“Betulkah? Apa kata doktor?”

“Betul, doktor cakap mungkin saya penat.”

“Itulah kamu…”

“Mak, sudahlah tu. Kita ada tetamu ni,” pintas Farisa sebelum sempat Mak Piah membebel panjang. Mendengarkan bicara Farisa, barulah Mak Piah sedar akan kewujudan seorang lelaki asing di situ.

“Kenalkan bos Ris, Micheal McCormick,” ucap Farisa.

“Apa khabar , makcik?” tegur Micheal McCormick berbahasa.

“Baik,” jawab Mak Piah kedengaran agak dingin.

“Dialah yang hantarkan Ris ke hospital tadi,” celah Farisa pula.

“Em, terima kasih banyak,” tutur Mak Piah masih acuh tak acuh. Hairan juga Farisa melihatkan gelagat ibunya itu, seakan tidak menyenangi kehadiran Micheal McCormick.

“Micheal McCormick, jemputlah naik,” pelawa Farisa cuba untuk meredakan suasana janggal yang tercetus akibat sikap Mak Piah. Sempat juga dia melirik ke arah Mak Piah yang mengerling tajam.

No, thank you. Hari dah lewat ni, saya balik dululah,” tolak Micheal McCormick dengan baik. Barangkali dia menyedari akan perasaan kurang senang Mak Piah padanya.

“Tak nak minum dulu?”

“Tak mengapalah, lain kali saja. Saya beredar dulu, makcik, Farisa.”

“Terima kasih sekali lagi, Micheal McCormick.”

“Sama-sama.”

Lelaki tinggi lampai itu merapati keretanya. Mak Piah tidak berkejip memandang sehinggalah Ferrari merah yang dipandu oleh Micheal McCormick hilang disebalik selekoh jalan. Sedang Farisa asyik memerhati gelagat ibunya.

“Jadi itulah bos yang kamu ceritakan pada mak tu?” pertanyaan Mak Piah mengetuk gegendang telinga sewaktu Farisa ingin beredar dari situ.

“Iya, kacak tak?”

“Jadi itulah orang yang menyebabkan kamu jadi macam ni. Kerja tak tentu masa sehingga kesihatan sendiri terabai.”

“Mak tak baik cakap macam tu tau. Kalau tidak kerana dia tadi, entah apa yang jadi pada saya.”

Mak Piah mencebik bibir. Tanpa mempedulikan reaksi ibunya, Farisa segera memanjat anak tangga. Dia cuba mengelak daripada perbualannya dengan Mak Piah. Tetapi Mak Piah terus mengekori sehingga ke dalam biliknya.

“Ris, dia tu orang asing. Mana kita tahu hati budinya. Entah-entah dia buat baik sebab ada niat lain,” tempelak Mak Piah, tetap bersangka buruk terhadap majikan anaknya itu. Farisa merebahkan badan ke katil.

“Mak, dia pun orang macam kita juga. Ris kenal dia. Dia baik. Lagipun dia memang orang Malaysia, lahir di Malaysia, membesar di Malaysia. Janganlah menilai seseorang daripada rupa parasnya.”

“Amboi, pandai pula anak mak ni bercakap. Kamu tu kenal dia baru seminggu.”

“Dia memang dididik dalam budaya negara ni. Dia orang macam kita juga, mak.”

“Walau apa pun yang kamu cakap, mak tetap tidak suka dia.”

“Suka hati maklah. Saya dah penat ni.”

Mak Piah menggeleng kecil. Susah juga hendak menasihati anak yang sudah dewasa. Mereka fikir mereka sudah tahu segalanya lantas nasihat orang tua langsung tidak mahu dengar.

“Mak belum habis cakap lagi pasal ni,” tegas Mak Piah lalu berlalu keluar dari bilik Farisa.

Keresahan kerana memikirkan soal kesihatan Farisa tadi baru saja hilang. Kini ditambah pula perasaan risau tentang kenyataan Farisa terhadap lelaki asing itu di hati Mak Piah. Ada sebab mengapa Mak Piah mencurigai Daniel McCormick. Dia terkenangkan kisah lama. Kisah yang diceritakan sendiri oleh Jamilah. Mak Piah melepaskan keluhan berat.

Tengahari itu awan berarak mendung didada langit. Pepohon kelapa meliuk-lintuk ditiup angin yang menderu. Dedaun kering berterbangan mengikut rentak semilir yang semakin kencang.

Hati Jamilah mula berlagu bimbang. Teman yang ditunggu masih belum datang. Dalam keadaan cuaca yang semakin buruk, kebimbangan Jamilah memang berasas. Sudah hampir sejam dia menunggu di situ tapi bayang Farisa masih juga belum muncul.

Jamilah memandang ke bawah, melihat kasut sekolahnya yang agak comot. Kemudian dia mendongak ke langit, melihat awan yang semakin memberat. Bila-bila masa saja hujan pasti turun. Jamilah risau satu-satunya kasut sekolah yang dia ada akan lencun dibasahi hujan nanti.

“Mana Farisa ni?” rungut Jamilah semakin diasak resah.

Dia menyandarkan basikalnya ke pokok kelapa yang berhampiran. Kemudian dia mundar-mandir tidak tentu hala. Lenguh berulang-alik tidak menentu begitu, dia duduk mencangkung pula.

“Siaplah kau, Farisa! Kalau kau sampai nanti, tahulah aku nak kerjakan kau.”

Jamilah terus merungut. Saat itu titis-titis hujan mula terasa di pipi. Jamilah segera membuka kasut dan stokin sekolahnya lalu dimasukkan ke dalam beg. Harap-harap janganlah kasut itu basah. Kalau basah, dia sanggup ponteng sekolah. Jamilah sudah serik dengan penangan Cikgu Rasah. Cukuplah sekali peristiwa dia dirotan oleh guru disiplin itu di khalayak ramai hanya kerana terlupa memakai stokin. Cukuplah sekali belakangnya berbirat menerima libasan Cikgu Rasah. Dia serik.

Titisan hujan semakin kasar menimpa Jamilah. Baju sekolahnya basah kuyup. Dia menggigil kesejukan.

“Milah!”

Tiba-tiba dia terdengar namanya diseru. Pantas Jamilah menghala pandangan ke seberang jalan. Kelihatan Farisa sedang galak melambai-lambai ke arahnya. Jamilah mengetap bibir.

“Farisa, kau lambat!” jerit Jamilah tidak tertahan.

Farisa sekadar menjungkitkan bahu sambil tersengeh macam kerang busuk.

“Aku jumpa Cikgu Karim tadi. Tunggu aku, aku nak seberang jalan!” balas Farisa kemudiannya dengan suara yang agak kuat kerana cuba untuk mengatasi bunyi hujan yang mencurah ke bumi. Jamilah melihat saja Farisa terkocoh-kocoh melintas jalan bersama basikalnya. Namun baru beberapa langkah Farisa menyeberangi jalan, sebuah kereta Mercedes muncul tiba-tiba. Bagai bermimpi dia menyaksikan tubuh kurus Farisa terpelanting ke tepi jalan apabila menerima hentaman yang begitu kuat.

“Farisa!!” jerit Jamilah sekuat-kuat hati.

Serentak itu juga kedengaran bunyi brek yang panjang dan bingit. Kereta Mercedes tadi berhenti betul-betul di depan Jamilah. Seorang lelaki tua berkulit putih bergegas keluar dari perut kereta. Buru-buru dia mendapatkan Farisa yang terjelepok di atas aspal. Jamilah turut bergegas mendapatkan sahabatnya.

Oh my God...oh my...girl, are you alright?”

Kedengaran lelaki itu berbicara dengan Farisa. Waktu itu tubuh Farisa sudah basah dengan darah bercampur air hujan dan Jamilah terpempan disisi sahabatnya. Lelaki tua tadi memangku Farisa dengan cermat.

Girl, talk to me. Are you alright? Oh my God..where’s the nearest hospital? We’ve to send her to the hospital. Where is it?” suara lelaki Mat Salleh itu tegang. Matanya bulat mencerlung Jamilah. Jelas dia betul-betul panik dengan apa yang telah berlaku.

Hey, tell me! Do you know any hospital nearby?”

Tersentak Jamilah apabila dia disergah oleh lelaki itu.

“Hos..hospital...sana!”

Tergagap-gagap Jamilah menunjuk ke suatu arah. Bulat mata Mat Salleh itu menambah cemas dalam diri Jamilah. Belum pernah dia berada begitu dekat dengan orang putih sebelum ini. Melihat matanya yang biru pun Jamilah sudah gugup.

Come on, we should hurry. Go! Go!”

Gesa lelaki Mat Salleh lantas mencempung Farisa yang masih kaku tidak bergerak langsung.

Cerita Jamilah kepada Mak Piah mati di situ. Hampir sebulan Farisa berada di hospital. Kata doktor dia mengalami pendarahan dalam otak. Farisa terpaksa menjalani pembedahan. Waktu itu hanya Tuhan saja yang tahu perasaan Mak Piah. Encik Smith, lelaki yang telah melanggar Farisa itu berjanji untuk membiayai semua kos rawatan. Namun sehingga Farisa keluar hospital, Encik Smith tidak pernah menampakkan batang hidung. Hilang dan lenyap begitu saja tanpa dapat dikesan. Janji-janji manisnya juga lesap tidak terkesan.

Mak Piah bergolok bergadai cuba menyelesaikan hutang kos rawatan. Terpaksa bercagar tanah dan barang kemas demi sebuah kehidupan normal untuk anak yang tersayang. Sejak peristiwa hitam itulah mak Piah tidak lagi percaya pada bangsa asing yang bermata biru. Biarlah orang kata Mak Piah prejudis. Mak Piah bersikap perkauman. Biarlah. Yang pasti Mak Piah mempunyai pengalaman buruk dengan lelaki bermata biru.

No comments:

Post a Comment

Followers